NOVEMBER 2024

Jambatan Marudi-Miri Siap Sebelum Krismas – Abang Johari


Miri, 2 Nov – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, mengumumkan bahawa jambatan yang menghubungkan Miri dan Marudi akan siap dan boleh digunakan sebelum Krismas tahun ini. 

Pembinaan jambatan ini dijangka memudahkan pergerakan penduduk tempatan serta mengeratkan hubungan antara komuniti Miri dan Baram.

“Jambatan ini membolehkan perjalanan antara Miri dan Marudi tanpa perlu menggunakan feri lagi dan yang penting, ia bebas tol,” katanya semasa berucap di majlis perasmian Karnival Taste of Borneo 3.0.

Abang Johari turut berkongsi perancangan kerajaan Sarawak untuk menghubungkan Miri ke Long Terawan melalui jalan darat, yang dijangka siap sebelum tahun 2030. Laluan ini akan menghubungkan kawasan UNESCO di Mulu terus ke Limbang, sebelum menyambung ke Brunei dan kembali ke Miri, membentuk satu rangkaian jalan “circular” yang akan memudahkan pelancongan darat. 

“Pelancong yang tiba di Miri boleh ke Mulu tanpa memerlukan penerbangan,” tambahnya.

Selain itu, beliau mengumumkan pembangunan kemudahan pelancongan antara Miri dan Niah, yang kini juga diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO.

“Niah dan Mulu adalah khazanah yang berharga di utara Sarawak, dan kerajaan akan terus membangun kemudahan untuk pelancong dari seluruh dunia yang datang ke Miri untuk menikmati warisan ini,” katanya.

Dalam usaha untuk memudahkan akses pelancong ke negeri ini, Abang Johari turut mengumumkan rancangan kerajaan untuk menubuhkan syarikat penerbangan Sarawak sendiri. Inisiatif ini dijangka akan selesai sama ada menjelang hujung tahun ini atau pada suku pertama 2025. 

“Jika syarikat penerbangan ini direalisasikan, kita dapat membawa lebih ramai pelawat ke Sarawak dan merancakkan lagi ekonomi negeri,” katanya.

Abang Johari turut menekankan bahawa kekayaan budaya serumpun di Borneo membolehkan Sarawak bekerjasama erat dengan jiran serantau. 

“Borneo kaya dengan budaya yang serupa, yang menjadi platform untuk kita bergerak bersama ke arah masa hadapan. Hubungan kita dengan Kalimantan dan Brunei juga semakin erat, seiring dengan pembangunan Nusantara,” jelasnya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia Dato Lukanisman Awang Sauni, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Haji Saidol, Pengasas Karnival Budaya Taste of Borneo merangkap Duta Koordinasi Utama Acara Dato Hii King Chiong, dan Konsul Jeneral Republik Indonesia Bapak Raden Sigit Witjaksono.